Saiz Payudara Wanita – Ini 7 Faktor Utama Yang Memainkan Peranan

calendar-lines-pen
Dikemaskini pada 3 Feb 2024
clock-one

Saiz payudara wanita bukan sahaja dipengaruhi oleh genetik, tetapi banyak lagi faktor lain yang memainkan peranan. Ramai yang tak tahu fakta ni dan menganggap hanya genetik yang  menentukan saiz buah dada.

Saiz Payudara Wanita
Apakah faktor-faktor yang menentukan saizi payudara anda?
Saiz payudara wanita bukan sahaja ditentukan oleh genetik atau keturunan – banyak lagi faktor lain yang memainkan peranan! Click To Tweet

Boleh dikatakan kebanyakan anggota badan kita akan membesar dengan usia, dan tumbesaran tersebut akan berhenti apabila tiba masanya. Walau bagaimanapun, payudara wanita adalah berbeza.

Saiz payudara wanita boleh berubah sepanjang usia. Jadi, apakah faktor-faktor yang menentukan saiz buah dada wanita?

Faktor-Faktor Yang Menentukan Saiz Payudara Wanita

Berikut adalah perkara-perkara yang boleh mempengaruhi saiz payudara anda sepanjang hidup. Walaupun terdapat banyak faktor yang boleh dibincangkan, apa yang saya senaraikan ini adalah antara faktor-faktor utama.

1. Keturunan atau sejarah keluarga

Genetik akan menentukan ciri-ciri seperti warna kulit, ketinggian, warna rambut dan sebagainya. Faktor ini juga boleh menentukan saiz payudara anda. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna saiz mutlak payudara akan ditentukan oleh gen keluarga anda.

Jika ibu anda mempunyai payudara bersaiz D-cup, tidak semestinya buah dada anda juga akan bersaiz yang sama. Anda mungkin akan dilahirkan dengan saiz D-cup kerana genetik, tetapi saiz ini boleh berubah sepanjang hidup anda.

2. Berat badan

Faktor berat badan juga mempengaruhi saiz payudara anda. Secara ringkas, buah dada wanita mengandungi tisu penghubung, kelenjar susu, dan tisu lemak. Saiz tisu pada payudara adalah unik dan berbeza antara individu. Ada individu yang mempunyai konsentrasi tisu lemak yang banyak pada buah dada mereka, dan sebaliknya.

Individu yang mempunyai konsentrasi tisu lemak yang tinggi pada payudara akan merasakan perubahan yang drastik pada payudara mereka selari dengan pengurangan atau penambahan berat badan.

Perubahan ini mungkin tidak begitu ketara sekiranya anda hanya turun berat badan dalam beberapa kilogram. Tetapi, sekiranya anda mengalami perubahan berat badan yang drastik, saiz payudara anda juga akan berubah dengan drastik

Kesan ini tidak begitu ketara pada wanita yang mempunyai konsentrasi tisu yang rendah pada buah dada mereka.

3. Umur

Semakin anda meningkat usia, semakin berubah bentuk payudara anda. Ini tidak mengejutkan kerana faktor umur adalah antara faktor utama yang mempengaruhi saiz payudara wanita.

Semakin anda meningkat usia, semakin berkurang hormon estrogen pada tubuh. Hormon ini mempengaruhi keanjalan tisu penghubung pada buah dada – sekali gus memberi kesan kepada bentuk buah dada anda.

Rata-rata wanita yang meningkat usia akan merasakan payudara mereka tidak begitu anjal dan pejal seperti ketika usia muda. Ini adalah normal kerana berlaku perubahan pada kulit, otot, tisu dan ligamen.

4. Senaman fizikal

Ramai wanita yang perasan payudara mereka menjadi lebih pejal dan terbentuk apabila mereka memulakan rutin senaman. Senaman yang melibatkan otot-otot dada secara langsung sudah pasti akan mempengaruhi saiz payudara wanita.

Sekiranya otot-otot dada anda membesar, secara tidak langsung buah dada anda akan kelihatan lebih ketara.

Walau bagaimanapun, senaman ini sebenarnya tidak mengubah saiz payudara anda, iaitu tidak membesarkan payudara – tetapi hanya mempengaruhi bentuk payudara supaya kelihatan sedikit besar.

5. Haid

Kitaran haid adalah antara faktor utama yang mempengaruhi saiz payudara. Malah bukan sahaja saiz, tetapi juga bentuk dan tekstur kulit buah dada. Semasa kitaran pertama haid, badan akan mengeluarkan hormon estrogen yang banyak. Hormon ini merangsang saluran susu pada payudara.

Pada kitaran ke dua pula, hormon progesteron membentuk kelenjar susu dan akan mengakibatkan payudara membengkak. Ramai wanita yang mengadu payudara mereka akan berasa sakit ketika kitaran ke dua haid. Ini adalah normal dan tidak ada apa yang perlu dirisaukan.

Payudara juga mungkin akan menjadi lebih keras berbanding biasa pada kitaran ke dua ini. Walau bagaimanapun, saiz payudara akan menjadi normal semula selepas haid.

6. Kehamilan

Saiz payudara ketika hamil adalah satu fenomena yang diketahui umum. Ramai wanita sudah tahu fakta ini. Tidak mustahil saiz payudara membesar sehingga beberapa cup semasa hamil.

Faktor utama yang menyumbang kepada situasi ini adalah hormon progesteron. Hormon ini dihasilkan dengan begitu banyak ketika proses kehamilan. Tujuan utama adalah untuk menghasilkan susu. Ketika bulan kelima atau keenam anda hamil, payudara anda sudah berupaya untuk mengeluarkan susu.

Untuk wanita yang mempunyai ramai anak, kesan ini mungkin lebih ketara. Sesetengah wanita akan mengalami perubahan saiz payudara yang drastik selepas beberapa kelahiran dan penyusuan.

7. Perancang keluarga

Bagi wanita yang mengamalkan perancang keluarga, bukan sahaja badan anda akan terkesan – tetapi juga payudara anda. Pil atau suntikan perancang keluarga akan mempengaruhi penghasilan hormon tubuh anda.

Tambahan lagi jika anda menggunakan IUD, iaitu alat pencegah kehamilan yang diletakkan di dalam rahim. Kaedah-kaedah kawalan kehamilan ini akan memberi kesan yang drastik kepada saiz buah dada.

Semua faktor-faktor yang dinyatakan di atas boleh mempengaruhi saiz payudara anda. Walau bagaimanapun, perubahan yang berlaku kepada payudara anda boleh disebabkan oleh faktor yang tidak disenaraikan di atas. Sekiranya anda merasakan terdapat perubahan pada payudara, tetapi tidak tahu puncanya – mungkin anda perlu mendapatkan nasihat doktor kerana perubahan tersebut mungkin disebabkan oleh ketumbuhan. Terutama jika anda berasa sakit pada payudara.

share-nodes
Kongsi: