15 Jenis Sakit Payudara – Semua Wanita Perlu Ambil Tahu

calendar-lines-pen
Dikemaskini pada 3 Feb 2024
clock-one

Ada berapa jenis sakit payudara yang perlu anda ambil tahu? Sebenarnya banyak jenis penyakit payudara atau sakit buah dada yang perlu diberi perhatian oleh wanita. Maklumlah, payudara adalah salah satu aset pada wanita – jadi perlulah dijaga rapi setiap masa.

Jenis sakit payudara

Jenis-Jenis Sakit Payudara

Sebelum ini saya telah menulis tentang punca payudara sakit. Artikel kali ini pula akan menyentuh tentang jenis-jenis penyakit payudara. Terdapat beberapa jenis sakit payudara, dari yang tak serius seperti sakit payudara disebabkan faktor menyusu kepada yang lebih serius seperti kanser payudara. Berikut ialah senarai jenis penyakit buah dada wanita yang anda harus ambil tahu.

Jenis Sakit Payudara Ketika Menyusu

Sakit pada payudara ketika proses menyusu adalah perkara biasa yang terjadi kepada para ibu. Mereka yang pernah mengalami sakit ini pasti tahu betapa berat cabaran yang dihadapi untuk menyusu ketika buah dada sakit. Terdapat beberapa jenis penyakit pada payudara yang boleh berlaku akibat penyusuan.

Sakit payudara ketika menyusu

Sakit kerana susu penuh

Susu penuh pada payudara adalah salah satu penyebab atau jenis sakit payudara ketika menyusu. Payudara anda mengeluarkan susu mengikut keperluan anak anda. Oleh itu selepas proses menyusu, payudara akan penuh semula secara automatik.

Untuk mengelakkan susu terlalu penuh, anda perlu mengosongkannya semula untuk mengelak payudara menjadi bengkak dan sakit.

Sakit payudara kerana susu penuh selalu terjadi apabila bayi tidak dapat menyusu dengan baik kerana disebabkan oleh beberapa faktor seperti bayi pra matang atau saluran susu tersumbat.

Mastitis atau jangkitan payudara

Saluran susu yang tersumbat boleh menyebabkan payudara membengkak, seterusnya menyebabkan anda berasa sakit pada bahagian payudara. Selain bengkak, situasi ini juga boleh menyebabkan jangkitan payudara disebabkan oleh bakteria.

Jangkitan payudara atau dikenali sebagai “Mastitis”. Mastitis perlu dirawat awal kerana boleh mengakibatkan keradangan. Anda tidak perlu risau kerana jangkitan ini tidaklah serius dan boleh sembuh dengan pengambilan antibiotik.

Puting melecet dan luka

Satu lagi jenis sakit buah dada ialah puting melecet atau luka. Situasi ini menyebabkan payudara berasa sangat sakit, tambahan pula anda perlu menyusu dalam masa yang sama. Antara faktor yang menyebabkan payudara luka ialah posisi menyusu yang salah, atau bayi menggigit puting payudara ketika menyusu.

Untuk mengelak puting melecet atau luka, anda boleh sapu dahulu susu atau air liur bayi di sekeliling puting dan biarkan ia kering, sebelum menyusu.

Vasospasm

Sakit payudara jenis ini berlaku ketika payudara menjadi sangat sensitif terhadap udara sejuk. Vasospasm selalunya terjadi apabila berlaku penguncupan salur darah, seterusnya menyebabkan saluran darah menjadi sempit dan aliran darah berkurang.

Tanda-tanda anda mengalami Vasospasm ialah puting payudara berubah menjadi warna kebiruan, ungu atau putih selepas menyusu.

Jika ini berlaku, jangan panik. Tuam bahagian tersebut dengan air panas untuk melancarkan semula perjalanan darah ke bahagian puting susu.

Jangkitan kulat susu

Jangkitan kulat susu

Kulat susu atau Oral Thrush adalah salah satu penyebab payudara menjadi sakit, panas dan pedih. Jangkitan kulat susu pada payudara terjadi apabila mulut bayi yang berbekas susu dijangkiti kulat. Kulat ini seterusnya berjangkit kepada puting susu ibu ketika menyusu.

Situasi ini boleh dielakkan sekiranya anda sentiasa menjaga kebersihan mulut bayi anda. Sentiasa bersihkan mulut si comel selepas menyusu.

Seperti lain-lain jangkitan, cara terbaik untuk merawat sakit payudara ini adalah dengan berjumpa dan dapatkan nasihat doktor.

Jenis Sakit Payudara Berkaitan Benjolan Pada Payudara

Benjolan di payudara adalah mimpi ngeri semua wanita. Sudah pasti ramai yang mengaitkan benjolan tersebut dengan kanser payudara. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa bukan semua benjolan pada payudara disebabkan oleh kanser. Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan munculnya benjolan pada payudara.

Benjolan pada payudara

Kista

Ini adalah benjolan yang selalu muncul pada payudara. Kista adalah benjolan yang berisi cecair dan terasa lembut ketika disentuh. Benjolan ini selalunya muncul disebabkan oleh perubahan hormon pada tubuh ketika wanita datang bulan atau haid.

Apabila Kista muncul, ramai wanita akan berasa tidak selesa atau boleh menyebabkan rasa sakit payudara.

Benjolan Kista pada payudara tidak berbahaya dan akan hilang dengan sendiri ketika berlaku perubahan hormon – oleh itu anda tidak perlu risau jika benjolan ini muncul pada buah dada anda.

Fibrosis

Sekiranya kista adalah benjolan yang terasa lembut ketika disentuh, Fibrosis pula akan berasa padat dan keras ketika disentuh. Fibrosis terjadi akibat pertumbuhan jaringan yang berlebihan pada payudara.

Fibrosis boleh menyebabkan rasa sakit payudara ataupun tidak. Ada pengamal perubatan yang berpendapat Fibrosis boleh meningkatkan risiko terjadinya kanser payudara, dan ada pula pakar perubatan yang berpendapat benjolan ini tidak bersangkut-paut dengan risiko kanser.

Fibroadenoma

Benjolan fibroadenoma adalah salah satu jenis benjolan yang selalu timbul pada payudara selain kista dan fibrosis. Seperti fibrosis, benjolan ini berbentuk padat dan kenyal. Walau bagaimanapun, benjolan ini tidak menimbulkan rasa sakit ketika disentuh.

Benjolan ini selalunya wujud pada wanita yang berusia 20 hingga 30 tahun, dan memakan masa yang agak lama untuk membesar. Terdapat juga kes di mana benjolan ini menjadi sangat besar, yang dikenali sebagai giant fibroadenoma.

Berkaitan risiko kanser payudara pula, pakar perubatan belum dapat memberi jawapan yang pasti sama ada benjolan ini tidak akan menjurus kepada risiko kanser payudara atau tidak.

Lipoma

Lipoma payudara

Benjolan lipoma pula adalah benjolan yang terjadi apabila wujud pengumpulan lemak antara kulit dan lapisan otot. Dalam erti kata lain, lipoma adalah benjolan lemak. Benjolan ini tidak berbahaya dan bukan hanya muncul di kawasan payudara, tetapi juga boleh muncul di bahagian lain pada tubuh seperti leher, bahu, perut, lengan, paha dan punggung.

Traumatic fat necrosis

Keadaan traumatic fat necrosis terjadi akibat payudara mengalami kecederaan seperti luka payudara. Kesan daripada luka ini boleh menyebabkan kecederaan kepada jaringan lemak di kawasan payudara, dan akibatnya terbentuk benjolan bulat dan keras.

Benjolan yang terhasil daripada situasi traumatic fat necrosis akan menyebabkan anda berasa sakit. Kadang-kala juga akan keluar cecair daripada puting payudara.

Anda perlu berjumpa dengan pakar perubatan sekiranya anda mengalami situasi ini.

Papiloma Intraduktal

Benjolan papiloma intraduktal pula sering muncul pada wanita yang berusia antara 35 hingga 55 tahun. Benjolan ini boleh wujud sebagai satu benjolan besar atau beberapa benjolan kecil berukuran antara 1 hingga 2cm.

Papiloma intraduktal terbentuk daripada kelenjar, sel fibrous dan pembuluh darah dan tidak dikaitkan dengan risiko kanser payudara.

Walaubagaimanapun, terdapat situasi di mana wujud keadaan yang dinamakan multiple papillomas yang boleh meningkatkan risiko kanser.

Kanser

Ini adalah jenis sakit payudara yang paling bahaya dan memudaratkan. Tanda utama anda mengalami risiko kanser payudara adalah munculnya benjolan pada bahagian payudara. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, tidak semua benjolan boleh menyebabkan kanser.

Secara ringkas, kanser payudara boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu;

  1. Tidak invasif (in situ)
    Kanser berada di peringkat awal dan masih belum merebak.
  2. Invasif (infiltration)
    Sel kanser sudah mula merebak ke kawasan sekitar payudara.

Topik kanser payudara yang lebih menyeluruh akan saya sentuh pada artikel yang akan datang.

Jenis Sakit Payudara Berkaitan Kehamilan

Terdapat juga sakit payudara ketika hamil yang dialami oleh wanita. Gejala sakit ini boleh timbul ketika awal kehamilan mahupun ketika waktu hamil. Ada juga wanita yang sering bertanya adakah rasa sakit pada payudara tanda hamil?

Tidak ada jawapan yang khusus untuk soalan ini. Sakit payudara boleh menjadi sebagai penanda awal anda mungkin hamil – tetapi ini bukan tanda ukur yang tepat. Lebih baik sekiranya anda buat ujian hamil untuk menentukan anda hamil atau tidak.

Sakit payudara ketika hamil

Awal kehamilan

Bagi ramai wanita, rasa sakit pada bahagian payudara boleh dijadikan sebagai tanda awal proses hamil. Payudara akan membengkak dan memberat, dan menjadi sensitif kepada sentuhan. Perkara ini mungkin akan menyebabkan ketidakselesaan untuk menjalani aktiviti harian terutama kepada mereka yang aktif.

Mungkin anda boleh menggunakan bra sukan untuk menangani masalah ini.

Puting akan menjadi sangat sensitif sehingga sedikit sentuhan sahaja boleh menyebabkan rasa sakit atau ngilu. Walau bagaimanapun, simptom ini hanya berlaku ketika beberapa minggu pertama kehamilan.

Ketika hamil

Payudara membengkak ketika hamil adalah perkara biasa dan berlaku kepada semua wanita. Saluran darah mengepam darah tambahan kepada payudara. Anda mungkin perasan akan timbul urat-urat biru pada kawasan buah dada anda akibat daripada perkara ini.

Berlaku juga perubahan pada bentuk payudara, terutama pada puting. Perubahan ini mungkin berlaku dari sudut saiz payudara, atau bentuk payudara itu sendiri.

Ada juga wanita yang perasan muncul benjolan kecil, seperti titik-titik pada kawasan areola mereka. Ini adalah normal dan sering berlaku ketika hamil.

Puting payudara juga mungkin akan mengeluarkan cecair dengan putih, kuning, hijau atau coklat. Jangan terkejut sekiranya ini berlaku.

Penghujung kehamilan

Ketika minggu akhir kehamilan, payudara akan menjadi semakin besar dan berat daripada sebelum ini. Cecair yang keluar daripada puting juga semakin kerap dan banyak. Dan, yang paling ketara adalah tanda regangan yang kelihatan lebih jelas berbanding sebelum ini.

Jenis Sakit Payudara Ketika Haid

Ramai wanita yang mengalami sakit payudara ketika haid. Situasi ini sangat membebankan – sudahlah kejang perut, payudara pula sakit. Keadaan ini buat ramai wanita jadi tidak selesa dan sudah pasti ini mempengaruhi mood anda.

Sebelum haid

Payudara berasa sakit sebelum haid akibat daripada payudara membengkak, atau puting payudara sangat sensitif kepada sentuhan – ini adalah normal dan berlaku kepada sesetengah wanita.

Perkara ini berlaku akibat daripada perubahan hormon yang terjadi kepada badan ketika menghampiri haid. Sebenarnya ini bagus kerana ini adalah bukti hormon pada tubuh kita berfungsi dengan baik.

Ketika haid

Ketika datang haid, penghasilan hormon estrogen dan progesteron semakin meningkat seterusnya buat payudara semakin membesar dan semakin sensitif. Anda mungkin akan berasa tidak selesa dan sedikit sakit dalam situasi ini.

Anda tidak perlu risau sekiranya payudara hanya membengkak dan menjadi sensitif – asalkan tidak ada benjolan. Jika ada pun, tidak semestinya itu adalah tanda kanser payudara, seperti yang telah saya jelaskan pada bahagian sakit payudara berkaitan benjolan di atas.

Sakit Payudara Sebelah Kiri

Sakit payudara sebelah kiri

Ramai wanita yang mengadu mereka sering sakit payudara di sebelah kiri. Ini bukanlah sakit terpencil, tetapi sering dialami oleh kaum wanita.

Rasa sakit seperti ngilu, rasa tekanan pada payudara, bengkak, atau payudara menjadi sensitif hanya pada sebelah kira boleh disebabkan oleh banyak faktor dan boleh menjurus kepada banyak jenis sakit payudara – seperti yang telah dijelaskan sebelum ini.

Walau bagaimanapun, terdapat juga sakit payudara sebelah kiri yang boleh diakibatkan oleh serangan jantung. Ini adalah serius dan simptom awal dan perlu dipandang serius, terutama bagi wanita. Ini kerana simptom sakit jantung untuk kaum wanita adalah berbeza dengan lelaki.

Sekiranya anda mengalami sakit payudara sebelah kiri yang lain daripada simptom yang telah dijelaskan sebelum ini, seperti sesak nafas – segera berjumpa doktor untuk ujian mammogram.

share-nodes
Kongsi: