Payudara Sakit – Apakah Sebab, Punca, Faktor Payudara Sakit & Membengkak

calendar-lines-pen
Dikemaskini pada 3 Feb 2024
clock-one

Payudara sakit adalah tanda-tanda kanser payudara? Mungkin tidak. Sebenarnya banyak sebab atau punca yang boleh menyebab payudara sakit dan membengkak – tidak semestinya semua sakit payudara akan menyumbang kepada kanser.

Payudara Sakit

Sejak akhir-akhir ini kesedaran terhadap kanser payudara semakin meningkat. Ini adalah perkara yang sangat bagus. Tambahan pula kanser adalah antara masalah kesihatan wanita yang sangat berbahaya.

Walau bagaimanapun, jika anda berasa sakit pada payudara, atau tiba-tiba payudara anda membengkak – mungkin ada faktor lain yang memainkan peranan.

Punca Yang Menyebabkan Payudara Sakit

Sebenarnya banyak faktor yang boleh menyebabkan payudara anda berasa sakit. Dari datang bulan hingga kepada masalah yang berkait-rapat dengan kesihatan. Di sini saya senaraikan antara sebab-utama kenapa payudara sakit.

Datang Bulan (Haid)

Ramai wanita yang mengalami sakit pada payudara ketika hampir datang bulan. Ini terjadi kerana berlaku perubahan hormon pada tubuh ketika menjelang haid. Jadi jika anda berasa sakit atau tidak selesa pada buah dada ketika hampir datang bulan – ini adalah normal dan anda tak perlu risau.

Payudara sakit ketika datang bulan

Ini menandakan tubuh anda sihat kerana perubahan hormon anda berlangsung dengan normal.

Malah terdapat istilah perubatan khas untuk situasi ini, iaitu “Mastalgia”.

Sakit payudara ketika hampir datang bulan (haid) dikenali sebagai Mastalgia. Click To Tweet

Hormon Estrogen dan Progesteron

Dua jenis hormon mengalami perubahan iaitu hormon estrogen dan progesteron. Kedua-dua hormon meningkat dengan mendadak ketika sebelum, ketika dan selepas haid. Hormon estrogen memainkan peranan untuk proses ovulasi, manakala hormon progesteron pula mula memainkan peranan selepas proses ovulasi untuk wanita hamil.

Selepas proses ovulasi, hormon progesteron akan membesarkan saluran payudara. Proses ini terjadi untuk menyediakan payudara untuk menyusu. Pada ketika ini, payudara akan berasa sangat sensitif dan mudah sakit.

Petanda Awal Kehamilan

Payudara sakit sebelum haid juga boleh menandakan yang anda hamil. Seperti yang dinyatakan sebelum ni, perubahan hormon progesteron adalah antara faktor-faktor yang menyebabkan payudara berasa sakit.

Hormon-hormon ini hanya dihasilkan sekiranya wanita tersebut mengandung. Jadi, jika anda berasa sakit sebelum haid seperti payudara sangat sensitif atau puting payudara membengkak – mungkin anda sedang hamil!

payudara sakit ketika hamil

Putus Haid (Menopause)

Jika ketika hampir datang bulan tubuh anda akan meningkatkan penghasilan hormon estrogen dan progesteron, putus haid pula adalah sebaliknya.

Apabila anda memasuki fasa menopaus, tubuh anda akan memberhentikan penghasilan kedua-dua hormon ini. Walau bagaimanapun, perubahan ini tidak berlaku secara mendadak dan memakan masa – selalunya antara 4 hingga 12 tahun.

Fasa sebelum putus haid ini dikenali sebagai “Perimenopause”.

Ramai wanita yang mengalami payudara sakit ketika fasa perimenoupause ini. Jenis kesakitan yang dialami pula adalah sama dengan sakit semasa datang bulan (mastalgia).

Walau bagaimanapun, rasa sakit ini akan hilang dengan sendiri setelah anda putus haid sepenuhnya.

Sakit Atau Kejang Otot Kerana Bersukan

Ramai wanita yang keliru antara sakit payudara dengan kekejangan otot. Di bawah payudara terdapat otot yang dikenali sebagai otot pektoral. Otot ini berada betul-betul di bawah payudara anda – menyebabkan ramai yang menganggap kekejangan otot pektoral sebagai payudara sakit.

Otot pektoral anda akan berasa sakit sekiranya anda melakukan senaman yang melibatkan dada seperti tekan tubi (push up), pull up, dan sebagainya.

Seperti kebanyakan sakit otot, kesakitan ini hanya bersifat sementara dan akan hilang dengan rehat yang cukup. Kebanyakan sakit otot akan sembuh selepas tempoh 48 jam.

Anda juga boleh mendemah atau menuam bahagian tersebut dengan ais untuk mempercepatkan proses penyembuhan otot tersebut.

Selain otot pektoral, sakit pada bahagian tubuh yang lain seperti sakit belakang, leher atau bahu juga boleh beri kesan tak langsung kepada payudara anda. Selalunya sakit ini hanya bersifat sementara dan akan hilang apabila anda tidak lagi mengalami kesakitan pada bahagian-bahagian tersebut.

Tetapi, jika rasa sakit ini berpanjangan – anda perlu lakukan pemeriksaan lanjut.

Baca juga kelebihan bersukan untuk prestasi seksual

Payudara Sakit Kerana Berat Badan Turun Naik

Perubahan berat badan juga adalah antara faktor yang menyumbang kepada payudara sakit. Payudara anda terdiri daripada lemak dan tisu, jadi sudah pasti jika berat badan anda turun naik secara mendadak, ini akan beri kesan kepada payudara.

Apabila berat badan meningkat, tisu dan lemak pada payudara juga akan bertambah. Secara tak langsung payudara akan mengembang dan meregang. Proses ini akan buat anda berasa tak selesa, atau kadangkala berasa sakit.

Begitu juga ketika turun berat badan. Tisu lemak akan mengecil dan saiz payudara akan berkurang. Mungkin juga terdapat kesan “orange peel” di kawasan payudara.

Jika ini berlaku anda tak perlu risau kerana lama-kelamaan kesan ini akan hilang dengan sendiri. Cuma, jagalah berat badan tu. Jangan lakukan diet ekstrem yang boleh buat berat badan turun dengan mendadak.

Bukan sahaja tak elok untuk payudara, tetapi juga boleh beri kesan negatif kepada keseluruhan kesihatan tubuh anda.

Pemilihan Bra Yang Tidak Sesuai

Sebab payudara sakit kerana memilih bra yang tidak sesuai juga sering berlaku di kalangan kaum wanita. Malangnya ramai yang anggap perkara ini remeh dan tak memudaratkan.

Betul, jika payudara anda sakit disebabkan oleh bra yang tak sesuai – ini bukan masalah yang serius. Tetapi sudah pasti anda akan berasa sangat tak selesa untuk aktiviti harian.

Bra yang dicipta untuk kelihatan seksi, atau bra push-up yang melampau tidak semestinya akan buat anda selesa. Kadang-kala buah dada anda lemas dan tidak boleh bernafas kerana memakai bra yang tak sesuai. Begitu juga ketika anda bersukan. Jika boleh pakai bra yang dicipta khusus untuk bersukan – sports bra.

Bra sukan mengelak sakit payudara

Dan, jangan lupa untuk kerap membasuh bra anda. Jangan anggap jika bra tersebut masih bersih dan tidak berbau anda boleh terus pakai. Jika anda menggunakan bra tersebut terlalu lama – boleh menyebabkan jangkitan bakteria yang akan buat kulit anda melepuh atau melecet.

Faktor Pemakanan Menyebabkan Payudara Sakit

Ada pepatah Inggeris “We are what we eat”. Jika diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu akan jadi “Kita adalah apa yang kita makan” – lebih kuranglah.

Kenyataan ini sangat betul kerana makanan yang kita sumbat ke dalam perut kita akan mempengaruhi tubuh kita secara langsung atau tak langsung.

Makanan-makanan di bawah ini jika diambil secara berlebihan secara tak langsung boleh buat payudara anda berasa sakit dan tak selesa.

Kopi dan Teh

Semua orang tahu kopi dan teh mengandungi kandungan kafeina (caffeine) yang tinggi. Kafein jika diambil secara berlebihan akan beri kesan yang buruk kepada tubuh – termasuk payudara anda. Banyak kesan negatif dari pengambilan kafein yang berlebihan terhadap payudara.

Antaranya ialah rasa tidak selesa dan sakit pada payudara. Ini kerana pengambilan kopi atau teh yang berlebihan boleh menyebabkan perubahan fibrokisitik pada payudara – payudara menjadi padat atau timbul benjolan di kawasan payudara.

Malah terdapat kajian pada tahun 2008 dari Lund University, Sweden yang mendapati wanita yang minum kopi berlebihan mengalami pengurangan saiz payudara!

Coffee intake and CYP1A2*1F genotype predict breast volume in young women: implications for breast cancer.

Lund University of Sweden
Minum kopi berlebihan boleh buat payudara mengecil? Click To Tweet

Walau bagaimanapun, kajian ini disangkal oleh kebanyakan pakar perubatan kerana tiada bukti yang kukuh dan kajian-kajian yang dilakukan selepas itu tidak menemui hasil yang sama.

Garam

Seperti juga kafein, pengambilan garam yang berlebihan boleh beri kesan buruk pada tubuh anda. Wanita yang makan garam dalam kuantiti yang banyak boleh beri kesan langsung kepada kesihatan payudara mereka.

Garam juga boleh menyebabkan berlaku perubahan fibrokistik (Fibrocystic) dengan mendadak pada payudara. Perubahan ini berlaku apabila kelenjar berlebihan terkumpul pada kawasan payudara.

Perubahan ini sebenarnya tidaklah membahayakan. Tetapi kebanyakan wanita akan berasa tidak selesa terhadap perubahan-perubahan ini.

Jadi, jika boleh kurangkan pengambilan kafein dan garam dalam diet harian anda.

Kesan Pengambilan Ubat-Ubatan

Jika anda sedang dalam proses rawatan dengan mengambil ubat-ubatan dan berasa mengalami payudara sakit – mungkin kesakitan payudara tersebut disebabkan oleh ubat-ubatan.

Payudara sakit disebabkan ubat

Terdapat beberapa jenis ubat-ubatan yang boleh menyebabkan rasa sakit pada payudara.

  • Ubat yang mempengaruhi hormon dalam tubuh.
  • Ubat yang merawat masalah atau kesihatan mental.
  • Ubat yang merawat fungsi kardiovaskular tubuh.
  • Ubat yang merawat masalah kesuburan wanita.
  • Ubat yang merawat penyakit kencing manis.

Jika anda mengambil ubat yang disenaraikan di atas dan anda mengalami sakit payudara yang berlebihan, cara terbaik ialah berjumpa dengan pakar perubatan untuk khidmat nasihat.

Kesan Sampingan Dari Pembedahan Payudara

Selain pengambilan ubat-ubatan, kesan sampingan daripada pembedahan juga boleh menyebabkan payudara sakit. Jika anda baru sahaja menjalani pembedahan, rasa sakit payudara mungkin disebabkan efek daripada pembedahan tersebut.

Terutama jika pembedahan tersebut meninggalkan kesan atau parut pada payudara. Tahap kesakitan ini berbeza mengikut individu – dari sakit biasa sehingga kepada tahap kesakitan yang tinggi.

Mengikut pakar perubatan, antara jenis sakit payudara akibat pembedahan ialah tahap sensitiviti meningkat, sakit terhadap sentuhan, rasa kebas, dan juga sukar untuk mengangkat tangan melepasi kepala.

Sekiranya rasa sakit ini berpanjangan, anda dinasihatkan berjumpa doktor untuk rawatan susulan.

share-nodes
Kongsi: