Payudara Gatal? Ini 9 Punca Utama Yang Semua Wanita Perlu Ambil Tahu

calendar-lines-pen
Dikemaskini pada 3 Feb 2024
clock-one

Payudara gatal memang merimaskan. Tambahan pula jika tiba-tiba payudara anda berasa gatal pada tempat dan situasi yang tidak sesuai. Jika berada di rumah tiada masalah – boleh sahaja anda garu tanpa risau. Pernah tak anda terfikir kenapa payudara anda menjadi gatal. Apakah punca penyebabnya?

Payudara gatal
Banyak faktor yang menjadi punca payudara berasa gatal

9 Punca Yang Boleh Menyebabkan Payudara Gatal

Sebenarnya, tiada apa yang perlu dirisaukan sangat jika payudara menjadi gatal. Asalkan tubuh badan anda diliputi kulit, sudah pasti ada masa dan ketika yang anda berasa gatal pada kawasan tersebut. Di bawah adalah antara punca atau penyebab payudara anda tidak selesa.

1. Jarang basuh bra

Bila kali terakhir anda basuh coli atau bra anda? Anda mungkin ada bra pilihan atau kegemaran yang anda pakai lebih daripada satu kali, dan sudah pasti bra kegemaran ini jarang dibasuh.

Pakaian yang jarang dibasuh, terutama pakaian dalam selalunya menjadi tempat berkumpul bakteria. Bakteria yang terkumpul ini boleh menyebabkan kulit menjadi gatal. Lebih buruk lagi jika terdapat luka pada kulit, dan bakteria ini meresap melalui luka tersebut. Akibatnya terjadi jangkitan yang perlu dirawat.

2. Coli yang tidak sesuai

Sudah pasti ramai yang sedia maklum bra terdiri daripada pelbagai jenis fabrik. Tetapi, tak ramai yang tahu ada jenis fabrik yang tidak sesuai untuk sesetengah wanita. Jenis fabrik ini boleh mengakibatkan rasa tidak selesa pada payudara. Tambahan pula jika kulit anda adalah jenis kulit sensitif.

Antara jenis fabrik yang boleh mengakibatkan payudara gatal adalah fabrik sintetik.

3. Alergi / Alahan

Reaksi alergi juga boleh menyebabkan payudara gatal. Selalunya alahan yang berlaku pada kulit boleh berpunca daripada bahan penjagaan badan yang tidak sesuai, seperti sabun atau krim mandian yang menyebabkan alergi.

Begitu juga dengan sabun pencuci pakaian. Terdapat sabun cuci yang tidak sesuai untuk sesetengah individu, dan apabila individu menggunakan sabun cuci tersebut, pakaian yang dipakai boleh menyebabkan alahan pada kulit beliau.

4. Hamil dan menyusu

Payudara gatal petanda hamil. Proses hamil akan menyebabkan perubahan yang ketara pada tubuh anda. Ini kerana berlaku perubahan hormon yang mempengaruhi emosi dan fizikal ibu yang mengandung.

Dalam proses kehamilan, payudara akan membesar dan membengkak. Kulit payudara akan meregang dan dalam sesetengah kes, merekah. Perubahan ini secara tidak langsung boleh menyebabkan payudara gatal dan tidak selesa.

Untuk mengurangkan rasa gatal, anda boleh sapu losen atau krim pelembap atau krim anti alahan.

Baca juga faktor-faktor yang mempengaruhi saiz payudara

5. Haid

Seperti juga kehamilan, datang bulan juga boleh menyebabkan payudara menjadi tidak selesa. Perubahan hormon yang berlaku semasa haid buat payudara menjadi lebih sensitif dengan sentuhan. Haid juga boleh buat payudara meregang dan menyumbang kepada rasa gatal dan tidak selesa.

6. Ruam panas

Kadang-kala ruam panas yang berlaku pada kulit berhampiran kawasan payudara boleh menyebabkan payudara gatal. Ruam menyebabkan suhu payudara meningkat dan mula berpeluh. Situasi ini boleh buat kulit buah dada menjadi merah dan gatal.

Ruam panas boleh berlaku apabila peluh terperangkap di dalam kulit dan menyekat pori-pori tubuh.

7. Ekzema

Bagi yang tidak tahu apa itu ekzema – ekzema keadaan pada kulit yang mengakibatkan keradangan dan kegatalan. Keadaan ini selalunya berlaku di kawasan tubuh seperti pelipat lutut dan siku. Walau bagaimanapun, ekzema juga boleh terjadi di kawasan payudara.

Jika anda mengalami payudara gatal tetapi tidak tahu apa puncanya, ekzema boleh menjadi penyebabnya.

8. Psoriasis

Seperti juga ekzema, psoriasis adalah tergolong di dalam kategori penyakit kulit. Psoriasis boleh dikatakan lebih kronik daripada ekzema. Penyakit ini terjadi apabila terdapat kawasan kulit yang menebal lebih cepat daripada kulit normal.

Psoriasis selalunya berlaku pada kawasan siku, lutut, pinggang dan kulit kepala. Walau bagaimanapun seperti juga ekzema, psoriasis juga boleh terjadi di bahagian payudara.

9. Hipotiroidisme

Hipotiroidisme juga adalah situasi perubatan. Keadaan ini berlaku apabila pengeluaran hormon tiroid berkurangan akibat daripada kelenjar tiroid yang kurang aktif. Penyakit ini lebih banyak berlaku kepada wanita berbanding lelaki.

Antara isu yang disebabkan oleh Hipotiroidisme ialah kulit menjadi kering yang boleh mengakibatkan payudara gatal. Simptom-simptom lain pula adalah seperti mudah berasa letih, sembelit, rambut menipis, dan degupan jantung menjadi perlahan.

share-nodes
Kongsi: