5 Sikap Yang Merosakkan Seks – Elakkan Setiap Masa

calendar-lines-pen
Dikemaskini pada 13 Jan 2024
clock-one

Apakah sikap yang merosakkan seks?

Hubungan seks adalah fitrah manusia, sesuatu yang indah dan mengasyikkan. Tak lupa juga tanggungjawab setiap suami dan isteri untuk memuaskan pasangan dalam hubungan seks. Oleh itu menjaga keperluan seks, dan memelihara hubungan seks supaya menjadi sesuatu yang sihat dan menyeronokkan adalah perlu.

Walaubagaimanapun, manusia tidak dapat lari daripada kesilapan, dan seringkali menimbulkan sikap-sikap negatif yang merosakkan hubungan seks suami isteri.

Sikap yang merosakkan seks

Sikap yang merosakkan seks

Di sini saya berikan beberapa sikap negatif, yang mungkin tanpa anda sedari boleh merosakkan hubungan seks anda.

Suka membandingkan kehidupan seks anda dengan orang lain

Anda pasti tahu yang anda tidak seharusnya membicarakan hal dalam kelambu anda dan suami dengan orang lain. Tetapi kadangkala ketika bergosip dengan teman rapat, terlepas juga cakap tentang hal tersebut. Dan seringkali tanpa anda sedari, anda akan membuat perbandingan antara kehidupan seks mereka dan kehidupan seks anda.

Akibatnya anda akan berasa hampa kerana kehidupan seks yang digambarkan oleh orang lain ternyata lebih hebat daripada kehidupan seks anda, atau anda mungkin berasa bangga kerana kehidupan seks anda dan pasangan lebih hebat dari kehidupan seks mereka. Ini adalah sikap negatif yang harus dihindarkan.

Sikap ini akan mempengaruhi psikologi seks anda dan pasangan. Seringkali sikap ini akan membawa perasaan yang tidak puas hati jika anda rasakan hubungan seks anda kurang, atau perasaan tidak ingin memperbaiki sekiranya anda rasakan hubungan seks anda lebih hebat.

Mengabaikan penampilan

Ketika bercinta, masing-masing amat menjaga rapi tubuh kerana ingin kelihatan cantik dan menawan. Begitu juga di awal usia perkahwinan. Tetapi lama kelamaan apabila semakin sibuk dengan tugas dan anak-anak, penampilan dan perawatan diri diabaikan. Anda pasti tahu akibat dari sikap ini bukan?

Sebenarnya tidak perlu krim atau losen yang mahal-mahal untuk menjaga penampilan diri. Cukup sekadar menjaga kebersihan dan kelihatan menarik kepada pasangan. Walaupun perkara ini mungkin tidak begitu penting kepada anda, tetapi percayalah ini adalah antara faktor terpenting dalam hubungan suami isteri.

Tidak percaya kepada diri sendiri

Membaca dan mencari informasi untuk memperbaiki hubungan seks adalah amat digalakkan. Contohnya melalui laman web ini. Tetapi walaupun informasi-informasi dan tips yang diberikan oleh laman web, majalah atau sebarang media boleh membantu, apa yang lebih penting ialah anda mesti mempercayai diri sendiri lebih daripada informasi media.

Tidak mahu memulakan

Sesekali anda perlu bertegas, berani dan memulakan dulu daripada si dia. Janganlah mengharapkan hanya pasangan anda yang perlu memulakan permainan. Jangan lupa hubungan seks adalah hubungan bersama, bukan hubungan sebelah pihak sahaja. Oleh itu jadikan hubungan seks anda sebagai “win-win situation”.

Berfikiran sempit

Masih ada yang berfikiran seks itu sesuatu yang sensitif, atau jijik? Hentikan. Buka sedikit minda dan lakukan eksplorasi pada dunia masa sekarang. Cuba berfikir bagaimana untuk memperbaiki dan memantapkan hubungan seks anda bersama si dia. Bukan penuhkan fikiran anda dengan saranan-saranan negatif tentang seks!

Buang Jauh-Jauh Sikap Yang Merosakkan Seks Ini

Hindarkan daripada mengamalkan sikap-sikap negatif ini. Bawa pemikiran positif kepada diri anda, sekali gus anda akan dapat menggunakan tenaga positif tersebut untuk mempengaruhi hubungan seks anda berdua.

share-nodes
Kongsi: