Kebaikan Hubungan Seks Ketika Hamil – Jangan Takut Untuk Bersama

calendar-lines-pen
Dikemaskini pada 3 Feb 2024
clock-one

Ramai pasangan yang ragu-ragu tentang hubungan seks ketika hamil. Ada yang takut aktiviti seks ketika hamil boleh memberi kesan buruk kepada janin di dalam kandungan. Ada pula yang takut perbuatan ini akan memberi kesan sampingan kepada kesihatan isteri yang sedang sarat mengandung

Hubungan seks ketika hamil

Benarkah hubungan seks ketika hamil dilarang?

Tidak sama sekali. Seks ketika hamil adalah sesuatu yang sihat, kecuali terdapat faktor-faktor kesihatan yang menghalang aktiviti ini. Saya telah menulis dengan panjang lebar tentang info ini dan faktor-faktor kesihatan yang boleh menyekat hubungan seks untuk ibu mengandung di panduan seks ketika hamil.

Anda boleh membaca artikel tersebut untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang faktor-faktor kesihatan yang mempengaruhi anda dan pasangan untuk tidak melakukan aktiviti seks.

Kelebihan isteri ketika hamil

Pada artikel kali ini saya ingin memberikan kebaikan hubungan seks ketika hamil. Masih ramai pasangan yang tidak tahu bahawa terdapat banyak kebaikan aktiviti seks ketika isteri hamil. Sebenarnya proses kehamilan memberi beberapa kelebihan kepada isteri dari aspek fizikal dan juga emosi.

Kelebihan yang saya maksudkan di sini ialah kelebihan-kelebihan yang boleh memberi peningkatan kepada kualiti hubungan seks.

Saya rasa ramai para isteri yang tidak tahu ketika mengandung, tahap hormon ‘Estrogen’ dan ‘Progesterone’ meningkat dengan mendadak. Kedua-dua hormon ini memberi kesan dan mempengaruhi, secara langsung dan tidak langsung penampilan, dan emosi anda.

Sebagai contoh peningkatan hormon ‘Estrogen’ akan meningkatkan aliran darah kepada bahagian pelvis, punggung dan kemaluan. Hormon ini juga yang menyebabkan payudara membesar, menjadi semakin sensitif terhadap sentuhan, dan puting payudara menjadi hitam.

Perkara ini boleh meningkatkan nafsu dan ghairah suami.

Faktor ini juga akan membuatkan isteri lebih sensitif dan peka terhadap sebarang rangsangan fizikal. Oleh itu tidak mustahil jika para isteri akan lebih cepat mengalami orgasma dan klimaks walaupun sebelum ini mereka sukar untuk orgasma dan klimaks.

Kebanyakan isteri juga merasakan diri mereka lebih seksi dan menarik ketika mengandung. Seperti yang saya katakan di atas, payudara isteri membesar, dan bahagian lain pada tubuh isteri lebih berbentuk ketika mengandung. Ini secara tidak langsung menyumbang kepada perasaan seksi dan sensual.

Rugi sekali jika para suami tidak mengambil kira fakta ini untuk memberi kepuasan kepada isteri mereka yang sedang mengandung.

Kebaikan hubungan seks ketika hamil dari aspek kesihatan

Selain daripada kelebihan dan kebaikan kepada nikmat hubungan seks, kajian-kajian yang dilakukan juga telah membuktikan bahawa aktiviti seks ketika hamil boleh memberi kebaikan kepada kesihatan ibu yang mengandung.

Antaranya ialah kajian yang dilakukan oleh pihak Science Nordic membuktikan aktiviti seks yang teratur ketika hamil boleh mengurangkan komplikasi ketika proses kelahiran bayi.

Menurut kajian ini, antara 3% hingga 5% wanita hamil akan mengalami ‘pre-eclamsia’, iaitu keadaan kesihatan yang menyebabkan komplikasi kepada ibu dan bayi semasa dan selepas kehamilan.

Simptom-simptom ini ialah peningkatan tekanan darah, protein dan air kencing pada peringkat ke dua proses kehamilan.

Lebih buruk lagi ibu mengandung boleh mengalami sawan berikutan komplikasi ini. Kajian ini telah menunjukkan bahawa sejenis protein HLA-G yang terdapat pada sperma suami boleh mengurangkan komplikasi ini dengan meningkatkan sistem imunisasi tubuh ibu yang mengandung.

Antara kebaikan kesihatan lain seks ketika mengandung ialah hubungan seks ketika hamil boleh merendahkan tekanan darah, membakar kalori(kurus dengan seks), mengurangkan kesakitan akibat dari hormon Oxytocin yang dikeluarkan ketika hubungan seks, meningkatkan kadar Antibodi IgA yang membantu mengurangkan risiko demam dan jangkitan lain.

Walaubagaimanapun ingin saya nasihatkan di sini, jika anda mempunyai masalah kesihatan yang serius seperti masalah jantung, kencing manis dan sebagainya, eloklah anda meminta nasihat doktor terlebih dahulu berhubung perkara ini.

Tunggu apa lagi

Kepada para suami dan ibu-ibu yang mengandung di luar sana, anda telah tahu kebaikan hubungan seks ketika hamil. Justeru itu jangan jadikan kehamilan sebagai alasan untuk tidak menjalani hubungan seks yang sihat.

share-nodes
Kongsi: